Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Suatu masa dahulu, aku sering mendengar mereka berkata perjalanan masih jauh lagi, sekarang masanya untuk menikmati setiap keseronokan duniawi, nanti bila sudah tua insaflah dan baru lah bertaubat. Malah, aku sendiri sering memikirkan bergitu, nantikan boleh taubat, nantikan boleh betulkan balik diri yang sudah tersesat, Allah kan Maha Penerima Taubat. Sungguh kehidupan aku pernuh keseronokan dunia, 22 tahun hidup pernuh sia-sia. Aku lupa, Allah sedang melihat setiap perbuatan aku, aku lupa malaikat sedang mencatit setiap perlakuanku dan amalanku, aku lupa Izrail sering kali datang melawatku, setiap hari setiap masa, iya..sungguh aku lupa.
Hari demi hari, detik demi detik, aku kumpul setiap titik hitam hingga penuh hatiku dengan titik hitam itu, tidak mampu ku bayangkan bagaimana rupa hatiku kini setelah 22 tahun aku mengumpul titik hitam itu dengan sedar mahupun tidak. Sesungguhnya hanya Allah yang Maha Mengetahuinya..
Biar banyak manapun pujian manusia di sekelilingku, satu pun tidak layak aku terima, kerana buruknya aku tersembunyi dari pandangan dan pengetahuan mereka. Seringkali aku bertanya pada diri yang berdosa ini, bolehkah aku berbangga dengan pujian mereka sedangkan diriku dimurkai Allah? bolehkah aku bergembira dengan pujian mereka sedangkan balasan perit dari Rabbi ku sedang menanti? Kata sisi hitamku " Kau memang layak dipuji.. mereka bukan tahu pun buruk dan hitamnya hati kau.mereka tak tahu!" sebaliknya, sisi putihku menidakkan kata-kati sisi hitamku, katanya "jangan..ingatlah..sesungguhnya Allah itu maha Mengetahui setiap apa yang ada di langit mahupun bumi, yang terzahir mahupun yang tersembunyi di dalam hati setiap hambaNya..dan ingatlah pembalasan Allah sedang menanti"
Suatu masa, aku masuk sebuah lorong yang tiada apa-apa, tiada nikmat keseronokan dunia, tiada warna warni dunia, yang ada cuma kegelapan, kekosongan, kesepian yang mendalam.. Aku lemas dan rimas. aku tidak tahu ke mana hala tuju hidup aku. Aku ingin melangkah kehadapan tiada jalan, ingin aku kembali ke belakang, tiada jua jalan, begitu jua ke kanan dan ke kiri. Aku ibarat dalam sebuah kotak tiada pintu tiada tingkap. Ketika itu aku tidak tahu apa perlu aku lakukan, aku takut! takut kan kekosongan yang aku rasa. Aku tidak tahu pada siapa ingin aku luahkan apa yang aku rasa. Seandainya aku luahkan pada mereka sekali pun, mereka pasti tidak mengerti, mereka pasti sangka aku hanya saja suka-suka berkata-kata, mereka pasti ingat aku gila.. Tapi terdetik di hatiku Hanya Allah yang maha Mengetahui setiap apa yang hambaNya rasakan...
Pada saat ini, buat kali yang entah keberapa pun aku tidak ingat, aku cuba usaha bangun mencari jalan pulang, mencari redha Rabbi ku, mencari cinta yang Maha pengasih lagi Maha penyayang. Bak kata seorang hamba Allah yang merupakan seorang penulis yang mengajak setiap orang kembali mencari Allah. Katanya "walaupun dah jatuh buat kali ketujuh, bangkitlah buat kali kelapan". Bezanya dahulu andai aku jatuh aku terus jatuh berbulan lamanya dan adakalanya bertahun lamanya aku terus tenggelam dengan keseronokan dunia. Alhamdulillah kini, andai aku jatuh (iya aku pasti jua tersungkur, kerana aku manusia dan hamba berdosa yang masih kurang ilmu akhirat, yang masih rapuh imannya) aku tidak akan lama dengan kejatuhanku, aku akan cepat bangkit semula, usaha semula.
Kini, ketika aku mencari-mencari Rabbi ku, mencari cintaNya, mencari redhaNya dan ketika aku sedang cuba mengubah diriku menjadi lebih baik, usaha membersihkan tiap titik hitam di hati ini, sungguh benar aku merasakan satu kesusahan, kepayahan untuk kekalkan diriku di landasan yang benar, benar imanku yang rapuh mudah sahaja tergoda dengan godaan nafsu yang ditambah rasa dan perisa oleh bisikan halus musuh setiap anak cucu Adam dan Hawa (iya aku tahu, kerana itulah janji syaitan yang dilaknat Allah). Benarlah cerita sahabatku tatkala dia membuat "presentation" untuk subjek tasawwur islam. Ceritanya (aku tidak pasti darimana sumbernya) pada saat Allah menyuruh malaikat melihat syurga dan neraka, Allah bertanya pada malaikat bagaimana rupanya, kata malaikat seandainya manusia melihat syurga pasti mereka berlumba-lumba untuk ke syurga dan seandainya mereka melihat nereka pasti mereka takkan mahupun untuk ke neraka, tetapi seandainya mereka melihat jalan untuk ke nereka pastinya mereka akan berlumba-lumba ke neraka, kerana apa? maka fikirkan lah sendiri..
Kesusahan dan kepayahan yang aku lalui dalam mencari redha Allah, memerlukan Istiqamah. Sesuatu yang aku masih belum mampu kecapi.. Ye aku masih belum mampu untuk istiqamah.. Aku masih mencari-cari dan aku harap Allah kurniakan aku istiqamah dalam mencari cintaNya.. Kala ini, aku terfikir kembali, bagaimana dulu aku mampu fikir untuk bertaubat dan mengubah diri hanya pada waktu tua ku, pada saat akhirku, sedangkan bergini susahnya untuk mencari redha Allah, mencari cinta Allah, dan bergini susahnya aku nak membentuk kembali rohaniku dan bagaimana dulu aku terlalu yakin yang aku mampu dapatkan keampunan tuhanku? Benar Allah itu maha Pengampun, tapi lupakah aku pada kata sahabatku bahawa jalan ke syurga itu pasti tidak akan ada orang yang memilihnya seandainya mereka tahu bertapa sukarnya?
Benar Allah itu maha Pengampun, tapi bagaimana aku yakin yang aku mampu terus benar-benar bertaubat pada saat tua aku nanti tanpa usaha dari masa mudaku? Allahu bertapa zalimnya aku pada diriku sendiri.. Seandainya sekarang setelah 22 tahun hidup pun aku merasakan terlalu banyak dosa yang aku sedang pikul, terlalu banyak titik hitam yang perlu aku hilangkan bagaimana jika aku hanya mula untuk berubah pada 22 tahun yang akan datang? tidak mampu aku bayangkan..
Aku hamba berdosa, mencari-cari cinta dan redha dari Allah tuhan yang esa. Aku hamba berdosa yang masih terlalu kurang ilmu akhiratnya, yang masih rapuh imannya.Aku mengharap tiada saudara-saudara islamku yang lain yang terfikir untuk berkata (mahupun melakukannya) " lama lagi nak hidup nanti dah tua dah puas berseronok barulah insaf barulah bertaubat barulah berubah". kerana sesungguhnya bukan senang untuk mengubah diri yang telah terlalu lama bergelumang dosa dan noda, bukan senang untuk membentuk rohani dan jiwa yang telah rosak dan busuk, bukan senang untuk istiqamah dalam mencari ampunan, redha dan cinta Allah. Firman Allah, adakah mereka (setiap manusia) fikir mereka dibenarkan berkata mereka sudah beriman sedangkan mereka belum diuji dengan kesusahan. waallahualam.
"Ya Allah perbaikilah bagi kami agama kami, kerana ia penjaga urusan kami, perbaikilah bagi kami dunia kami, kerana di dalamnya kami hidup, perbaikilah akhirat kami kerana ia tempat akami kembali, jadikanlah hidupan sebagai tambahan segala kebaikan bagi kami dan jadikanlah kematian sebagai kerehatan kami dari segala kejahatan. Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghabisannya, dan sebaik-baik amal kami adalah penutupnya dan sebaik-baik hari adalah hari bertemu dengan-Mu. Ya Allah, anugerahkanlah pada kami ketakutan kepada-Mu yang dapat menghindarkan kami dari melakukan maksiat kepada-Mu, ketaatan yang dapat menyampaikan kami kepada syurga-Mu, keyakinan yang dapat memperkecilkan musibah dunia yang menimpa kami dan janganlah Engkau jadikan dunia kehendak paling besar kami dan pengetahuan paling akhir kami. Ya Allah ampunilah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa keluarga kami, dosa guru-guru kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa orang-orang yang rapat dengan kami, dosa muslimin dan muslimat ,dosa mukminin dan mukminat. ampunilah dosa kami semuanya Ya Allah yang Maha Pengampun. Ameen"